Penyalahgunaan Dadah

Penyalahgunaan dadah ertinya memasukkan apa jua jenis dadah berbahaya yang tersenarai di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 ke dalam tubuh badan.

Memasukkan ke dalam tubuh badan apa jua jenis dadah berjadual adalah suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 5,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun. 

Lazimnya, pendakwaan bagi kes Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibuat sejurus selepas keputusan ujian air kencing didapati positif mengandungi bahan terlarang. Walaubagaimanapun, apabila seseorang itu telah dituduh dibawah Seksyen 15 (1), pengakuan salah atau tidak bersalah tidak akan diambil sehingga keputusan muktamad laporan kimia air kencing daripada Jabatan Kimia Malaysia diperolehi oleh pihak pendakwaan.

Laporan keputusan ujian air kencing daripada Jabatan Kimia lazimnya mengambil masa 3-6 minggu untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan. Justeru, sementara menunggu laporan kimia tersebut, tertuduh akan direman dibawah Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah sehingga laporan kimia tersebut keluar. Meskipun begitu, tertuduh boleh memohon kepada Mahkamah melalui peguambela yang dilantik suatu bon jaminan bagi menggelakkan tertuduh ditahan reman lebih lama sementara menunggu laporan kimia tersebut siap.