Warga Bangladesh berjaya ketepi perintah rujuk ke imigresen

Bangladesh.jpg

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada kelmarin membenarkan permohonan semakan jenayah ke atas keputusan Mahkamah Majistret Kota Kinabalu yang memerintahkan seorang lelaki warganegara Bangladesh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Mujtoba Zaman Malick sebelum ini dijatuhkan hukuman denda RM 3,000.00 atau penjara 8 bulan jika gagal membayar denda tersebut oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas spesimen air kencingnya didapati mengandungi dadah berbahaya jenis methaphatemine. 

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Arshad di dalam penghakiman beliau bersetuju dengan hujahan peguam bela pemohon, Azhier Farhan Arisin bahawa tiada peruntukan undang-undang khusus memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pesalah yang telah selesai menjalani hukuman dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Azhier Farhan ketika di dalam hujahan beliau berkata, fungsi mahkamah adalah mengadili kesalahan yang dipertuduhkan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan kesalahan di dalam seksyen tersebut. Mahkamah tidak boleh mengambil fungsi badan legislatif untuk menggubal hukuman tambahan yang tidak diperbuat oleh Parlimen.

Menurut Azhier, hukuman bagi kesalahan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 hanya memperuntukkan denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun dan sebagai tambahan mahkamah boleh memerintahkan pesalah menjalani pengawasan polis dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan selama 2 tahun di bawah seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Walaubagaimanapun, Azhier berhujah tiada peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta Imigresen 1959/63 yang memberi kuasa kepada Mahkamah memerintahkan pesalah dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman.

“Seperti direkodkan di dalam Nota Prosiding Mahkamah, Majistret terpelajar gagal mempertimbangkan di bawah peruntukan undang-undang mana Mahkamah diberi kuasa untuk memerintahkan pemohon dirujuk ke Jabatan Imigresen. Ketidakarahan oleh Majistret ini terjumlah kepada salah arahan serius yang memprejudiskan pemohon.”

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli membangkitkan isu visa pelajar pemohon yang telah tamat tempoh memberi justifikasi kepada pemohon dirujuk dan ditahan oleh pihak Imigresen. Walaubagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi berkata kesalahan visa tamat tempoh tidak pernah dipertuduhkan di mahkamah dan mahkamah tidak dapat bertindak lebih adil jika memainkan peranan sebagai pendakwa dan pengadil di dalam masa yang sama. - SS