Empat lelaki bebas tuduhan rogol remaja

Peguam Azhier Farhan

KOTA KINABALU: Empat lelaki dibebaskan daripada tuduhan rogol berkumpulan terhadap seorang remaja berumur 15 tahun, tanpa diminta membela diri.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim melepaskan dan membebaskan Rezwan Abdullah, 23, Mohd Shah Abdullah @ Mat Tasin, 21, Mohd Izlan Omar, 22, dan Ag Rizaullah Bahin, 24, daripada tuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap empat tertuduh.

Mahkamah membuat perintah untuk empat tertuduh itu apabila kes mereka dikemukakan untuk keputusan pada akhir peringkat pendakwaan. Mereka berempat dituduh merogol remaja itu pada pukul 9 malam 8 Ogos 2018 di sebuah pondok di Pantai Melinsung, Papar.

Kesalahan di bawah Seksyen 375B/34 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun dan 30 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan. Lima saksi dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

Mahkamah memerintah supaya jumlah ikat jamin sebanyak RM8,000, dibayar balik kepada semua tertuduh. Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Megat Mahathir Megat Tharih Affendy menjalankan pendakwaan sementara peguam Azhier Farhan mewakili empat tertuduh.