Mahkamah Rayuan tolak rayuan pendakwaan

Kota Kinabalu: Mahkamah Rayuan yang bersidang di sini kelmarin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk melepaskan dan membebaskan seorang pemuda berusia 36 tahun daripada tuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat 63.40 gram di pusat siber cafe Paragon Kepayan, 2 tahun lepas.

Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Dato' Tengku Maimun binti Tuan Mat bersidang bersama Hakim Dato' Mary Lim Thiam Suan dan Hakim Datuk Yaacob Hj Mohd Sam sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan setelah mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza binti Jaafar dan peguambela responden Azhier Farhan bin Arisin.

Terdahulu, Elton George Junior Gaban dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 1 Jun 2016 di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama seksyen 39A(1) akta yang sama sebelum beliau dilepaskan dan dibebaskan di akhir perbicaraan kes tersebut setelah 7 saksi pendakwaan dipanggil. Kesalahan tersebut memperuntukkan penjara seumur hidup.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan terhadap pembebasan tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Februari 2017. Rayuan tersebut juga ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Arshad pada 9 Mac 2017 atas alasan identiti ekshibit dadah yang dikemukakan di mahkamah meragui selain rantaian bukti terputus apabila satu daripada dua dadah yang kononnya dirampas daripada Elton tidak dikemukakan di mahkamah.

Azhier Farhan ketika pendengaran rayuan tersebut di Mahkamah Rayuan berhujah rantaian bukti di dalam kes tersebut terputus setelah pihak pendakwaan gagal mengemukakan penjelasan bagaimana salah satu ekshibit dadah yang kononnya ditemui bersama Elton tidak dikemukakan di mahkamah selain tiada penjelasan bagaimana berat dadah sewaktu dirampas berkurangan semasa perbicaraan.

Elton dilihat menarik nafas lega setelah Hakim Dato' Tengku Maimun binti Tuan Mat membaca keputusan 3 panel hakim mahkamah rayuan tersebut.