TIPU RM70,0000: AHLI PERNIAGAAN DIBEBASKAN

Kota Kinabalu: Rayuan seorang ahli perniagaan tempatan daripada Telupid dibenarkan oleh mahkamah tinggi di sini atas sabitan dan hukuman menipu membabitkan projek menaik taraf laluan Mesilau-Koktal di Taman Negara Kinabalu.

Eddie Chia Ching Hung sebelum ini telah disabitkan dan dihukum dua tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret tahun lalu atas tuduhan menipu Chan Kai Yau kerana mendorong beliau menyerahkan sebahagian wang berjumlah RM 40,000.00 daripada RM 70,000.00.

Eddie dituduh melakukan kesalahan itu di Fook Yuen Kolombong pada 22 Januari 2014 apabila beliau menunjukkan kepada Chan surat kelulusan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah untuk melaksanakan projek tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Hj Arshad membenarkan rayuan dan melepaskan serta membebaskan perayu selepas mendengar kedua-dua hujahan daripada timbalan pendakwa raya Hafizah Zahidah Abdullah dan peguambela tertuduh diketuai oleh Mohd Azhier Farhan bin Arisin yang dibantu oleh peguambela Fareez Salleh Lamsin.

Semasa sesi pendengaran, peguam perayu telah membangkitkan isu teras sama ada Majistret terpelajar telah terkhilaf ketika membuat penemuan fakta bahawa surat kelulusan yang kononnya ditandatangani oleh Dr Jamili Nais bukan milik beliau dan adalah palsu.

Peguam Azhier Farhan berhujah Mahkamah Majistret telah terkhilaf membuat keputusan itu kerana pihak pendakwaan tidak pernah sama sekali memanggil Dr Jamili Nais sebagai saksi utama untuk mengesahkan dan memberi keterangan berkenaan tandatangan tersebut. Azhier berhujah tidak ada penjelasan dikemukakan daripada pihak pendakwaan mengapa Dr Jamili Nais tidak dipanggil sabagai saksi pendakwaan.

Kegagalan memanggil Dr Jamili Nais sebagai saksi untuk menentusahkan tandatangan tersebut, menurut Azhier, adalah bersifat menindas kebenaran dan mahkamah berhak memakai inferens yang menentang pihak pendakwaan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan.

Perayu kelihatan menarik lafas lega selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Arshad melepaskan dan membebaskan beliau daripada sabitan.