Lelaki bebas tuduhan cabul adik ipar

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mampu menarik nafas lega, apabila Mahkamah Majistret di sini kelmarin, membebaskannya atas pertuduhan mencabul adik iparnya.

Mcroland Deelmaverick, 21 tahun yang diwakili oleh peguam Mohd Azhier Farhan bin Arisin dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan oleh Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Keputusan itu dilakukan selepas kes berkenaan berakhir di peringkat akhir pendakwaan dan mendapati, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah mencabul mangsa yang berusia lapan tahun, pada 6 Februari tahun ini jam 7 pagi, di sebuah rumah kampung di Penampang.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara maksimum sepuluh tahun atau dengan denda, atau sebat atau dua daripadanya.

Sepanjang perbicaraan, lima saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Mahkamah juga mengarahkan ikat jamin dikembalikan kepada tertuduh.