Siasatan belum lengkap: Mahkamah Majistret benarkan permohonan reman selama 5 hari bermula hari ini sehingga Sabtu untuk lengkapkan siasatan.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Datuk Mohd Azis Jamman ditahan reman lima hari bermula hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perintah reman itu bagi membantu siasatan penyelewengan dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus, berikutan permohonan reman difailkan SPRM.

Jamawi diwakili peguam Arthur Bonnie, Shahlan Jufri dan Mohd Azhier Farhan bin Arisin, manakala peguam Hamid Ismail mewakili Ariffin.

Mohd Azis pula diwakili peguam Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat dan Jaikol Situn.

Sementara itu, SPRM diwakili Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

Ketiga-tiga pemimpin politik itu keluar dari kamar mahkamah pada jam 1.55 tengah hari.

Mereka disiasat berkaitan penyelewengan dana awam berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara 2010 dan 2016.